Sunday, January 04, 2009

Apabila adik 'kehilangan' kakak

Salam buat pembaca blog ini. Maaf kerana sudah seminggu tidak berblog. Sibuk dengan detik-detik terakhir di pejabat dan menguruskan pemergian Humaira ke IQKL.
Pendaftarannya, hari ini, 4 Januari pada jam 9 pagi. 15 minit sebelum jadual pendaftaran, kami tiba di bangunan sekolah di pinggiran Taman Tun Dr Ismail. Selepas mendaftar, teruslah ke dorm yang bakal menempatkan anak keduaku itu. Wajah Humaira nampak ceria dan dia sempat berbisik kepadaku bahawa dia sukakan tempat itu. Bestnya...kata Humaira. Aku tersenyum dan turut berkongsi kegembiraan itu. Anak saudaraku, Umar Abdul Rahman juga mendaftar di sekolah yang sama. Namun, dia di tingakatan satu manakala Humaira di tingkatan dua.
Selesai sesi taklimat, kami sekeluarga makan tengah hari di Restoran Makbul Nasi Kandar. Boleh tahan, sedap-sedap juga lauk pauknya. Selesai makan, pergi semula ke IQKL, bersolat zuhur dan menunggu kenalan yang sama-sama menunaikan umrah sewaktu program Umrah Bersama Jelita, Siti Aida dan Azarin. Tidak sangka, mereka sanggup datang dari Bukit Mahkota semata-mata mahu melihat Humaira. Namun, daripada pengamatanku, memang Aida dan Azarin mengambil berat mengenai anakku ini. Sekembali dari umrah, hubungan kami terus terjalin erat, saling berkunjung dan menelefon. Kadangkala segan juga dengan mereka ini sebab terlalu murah hati terhadap anakku. Ada sahaja yang diberinya kepada Humaira. Saya yakin mereka ikhlas memberi, apatah lagi mengetahui Humaira mengikuti pengajian al-Quran.
Kira-kira satu jam Aida dan Azarin berbual-bual dan sempat meninjau persekitaran IQKL.
Selepas mereka pulang, kami sekeluarga pun terpaksa meninggalkan Humaira dan Umar kerana tempoh lawatan hampir tamat, iaitu sebelum asar.
Detik kepulangan kami sungguh memilukan. Diriku dan ibu mampu menahan kesedihan namun Hajar tidak dapat menyembunyikan kesedihannya. Dia menangis enggan pulang. Puas dipujuk, namun dia terus menangis, tanpa mengendahkan ibu bapa pelajar lain yang turut ada di sekeliling. Setelah dipujuk ayahnya dan diriku, barulah Hajar naik ke kereta. Dia nangis sehingga tertidur.
Apabila tiba di Kampung Pandan, wajahnya muram dan meminta Alya (sepupunya) mengikut kami pulang ke Pandan Utama. Kami turutkan. Dia nampak gembira sedikit. Selesai Maghrib, diturutkan lagi kemahuannya untuk makan di Pizza Hut di Tesco.
Sesudah makan, masuk pula ke kedai buku. Setelah menghantar Alya pulang, wajah Hajar kembali suram. Tiba saja di rumah, dia merengek lagi dan apabila masuk ke bilik kakaknya, sekali lagi Hajar menangis semahu hati dan menjerit mahukan kakak... Sebak dada melihatnya tetapi saya dan suami kuatkan hati untuk memujuk Hajar. Hampir satu jam mendiamkan Hajar sehingga dia tertidur pada jam 11 malam. Kasihan, bantal dan tudung biru kakak menjadi teman tidurnya. Dia menyuruh kami menelefon kakaknya dan meminta Humaira balik setiap hari. Namun, yang hanya mampu aku lakukan ialah memujuk dan menasihatkannya supaya tidak menangis dan akan bertemu kakak pada setiap hujung minggu. Tidak sangka dia begitu merindui kakaknya, biarpun hampir saban hari bergaduh dan membuli kakaknya.
Hajar nampak berani tetapi hatinya begitu rapuh dan lembut, mudah tersentuh manakala Humaira kelihatan lembut tetapi, hatinya agak keras... Dia tidak menangis tatkala kami sekeluarga meninggalkannya di IQKL..
Semoga Humaira dan Umar menjadi pelajar cemerlang di sana nanti dan dipermudahkan segala hafazan dan pengajian akademik mereka...Amin

2 comments:

Anonymous said...

Alahai sedih plak tgk Hajar :)
terigt masa raya aritu... rajin sungguh Hajar lyn kami..
Harap Umairah berjya

raihanah said...

terimakasih aton kerana mendoakan kejayaan humaira...