Wednesday, August 11, 2010

Semangat Bapak

Ketika berkunjung ke Makkah pada 2005 bersama Bapak, Ibu & Azim
Kunjung ke Tanah Suci pada 2005 untuk menyambut Ramadan

Keratan akhbar Berita Harian pada 28 Julai 2010



Alhamdulillah, bertemu lagi Ramadan pada tahun ini. Bersahur, berpuasa, berbuka, berterawih dan bersedekah menjadi amalan mereka yang mahu menyemarakkan Ramadan dan merebut ganjaran daripada Maha Esa.
Ramadan kali ini mengundang kesyahduan dan kehibaan pada hati saya sekeluarga berikutan pemergian Bapak ke hadrat Ilahi pada 25 Julai 2010, kira-kira dua minggu sebelum tiba Ramadan. Semoga roh Bapak dirahmati dan ditempatkan bersama-sama orang beriman dan beramal soleh. Al Fatihah.
Kenangan manis bersamanya tetap terpahat dalam ingatan. Masih terbayang langkah kecil Bapak ke madrasah berhampiran rumah pada setiap waktu solat. Biarpun bertongkat dan terpaksa berjalan lambat dan perlahan, namun semangatnya tetap kuat untuk mengerjakan solat berjemaah.
Biar hujan lebat dan malam gelap pekat, namun, Bapak tetap mengharungi segala kepayahan untuk berjemaah di Madrasah Rahmaniah.
Biarpun demam tidak kebah dan suaranya garau akibat batuk, Bapak tetap gagah ke madrasah.
Biarpun terawih mengambil masa lebih satu jam, Bapak akan terus solat berdiri sehingga selesai 23 rakaat. Begitu kuat semangatnya.
Hatta, di Makkah sekalipun, Bapak akan terus berdiri untuk mengerjakan solat terawih sehingga Imam Abdul Rahman Sudais menghabiskan satu juzuk pada setiap malam.
Biarpun pernah dihadiahkan kerusi lipat untuk memudahkan Bapak duduk ketika bersolat terawih, Bapak enggan menggunakannya! Ketika tawaf dan saie, Bapak tidak memerlukan kerusi roda kerana mahu menggunakan kudrat sendiri untuk menyempurnakan ibadat umrah.
Hakikatnya, Bapak mempunyai semangat yang cukup kuat dan kental dalam urusan ibadatnya.
Hasratnya untuk ke Makkah pada 7 September untuk berpuasa pada hujung Ramadan, berhari raya di Tanah Suci dan seterusnya menunaikan umrah serta berpuasa Syawal tidak kesampaian. Namun, saya yakin niatnya untuk ke Baitullah dan berpuasa sunat sudahpun diterima Allah. Insya-Allah.
Saya lihat Bapak paling gembira apabila saya menyatakan cadangan menunaikan umrah pada 7 September. Terpancar keriangan pada wajahnya kerana berpeluang untuk mengerjakan puasa Syawal. Tambahan pula, pada tahun lalu, Bapak tidak berpeluang ke Tanah Suci. Kali terakhir ke sana bersama-sama keluarga adalah pada Mei 2008.
Biarpun usianya sudah mencecah 78 tahun, Bapak tidak pernah saya lihat meninggalkan puasa sunat Syawal. Pada setiap tahun, Bapak akan mula berpuasa pada 2 Syawal walaupun turut mengikut saya menziarahi ahli keluarga terdekat di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Begitu kuat semangatnya untuk tidak melengah-lengahkan puasa sunat Syawal.
Mampukah saya dan adik-adik mewarisi semangat yang dimilikinya?