Tuesday, December 09, 2008

Salam Aidiladha

9 Disember 2008.

Semalam umat Islam seluruh dunia menyambut Aidiladha atau juga dikenali sebagai hari raya korban. Setiap kali menjelang Aidiladha, hati saya tersentuh, mengingati pengalaman pertama menjejakkan kaki ke Makkah pada Februari 2000 untuk menunaikan pengembaraan paling agung, iaitu memenuhi rukun Islam kelima - haji. Pastinya, pengalaman yang dilalui tidak dapat dilupakan selagi hayat dikandung badan. Tidak dapat digambarkan dan diceritakan pengalaman perjalanan ke Tanah Suci memenuhi kewajipan itu. Setiap orang yang sudahpun mengerjakan ibadat haji, pasti mempunyai pengalaman berbeza kerana ia perjalanan kerohanian atau spiritual yang sukar diungkapkan dengan kata-kata atau tulisan. Tanyalah pada mereka yang pernah melangkah ke Tanah Suci, terutama yang sudah mengerjakan ibadat haji, pasti mempunyai pengalaman yang berbeza. Terharu, sebak, sedih, gembira menjadi tetamu Allah dan pelbagai pengalaman menjadikan diri merindui tempat itu. Hakkatnya, ke mana-mana sahaja saya melangkah, pada setiap penghujung perjalanan, pasti hati dan perasaan teringatkan Baitullah, yang tersergam indah dan pelbagai pengalaman indah sepanjang di rumah Allah.
Sebab itu, cerita mengenai Tanah Suci ini paling seronok dikongsi dengan mereka yang pernah mengunjunginya. Berkongsi cerita, pengalaman pahit manis di sana sentiasa menggamit rasa dan cita-cita untuk terus ke sana jika diizinkan oleh-Nya.
Hari Raya Haji tahun ini, ramai saudara-mara dan kenalan saya ke sana. Adik dan ibu saudara juga ada di sana. Alhamdulillah, ketika coretan ini ditulis, Imran selesai melontar jamrah Aqabah dan bersyukur kerana segala-galanya berjalan lancar sepanjang wukuf di Arafah.
Semoga Allah mengurniakan haji yang mabrur kepada semua tetamu Allah. Amin...

No comments: