Sunday, December 21, 2008

Ekzema

20 Disember 2008

Pagi ini, tepat jam 9 pagi, saya, suami dan hajar tiba di hospital ampang puteri untuk rawatan susulan hajar yang bermasalah ekzema. Sudah beberapa bulan mengubatinya tetapi masalah dihidapi tidak juga menunjukkan tanda-tanda terkawal atau sembuh. Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk membawanya ke Ampang Puteri untuk bertemu pakar kulit, Datuk Dr Biduwiah Long Bidin dua minggu lalu. Hari ini, sekali lagi saya membawanya ke hospital itu. Lama menunggu, nama Hajar dipanggil pada jam 11.15 pagi. Sempat kami minum di kafe paras bawah hospital itu. Alhamdulillah, ekzema dialami semakin sembuh. Tiada lagi terasa kasar pada kulit kepalanya. Hajar pun tidaklah asyik menggaru kepalanya sehingga luka. Disebabkan asyik menggaru beberapa bulan lalu, kulit kepalanya sering luka walaupun puas saya melarangnya daripada terus menggaru. Saya katakan kepadanya, jika dia terus menggaru, rambutnya akan dibotakkan. Dia takut mendengarnya kerana suka melaram.
Ubat yang diberi memang banyak, untuk makan tengah hari, malam, disapu dan untuk syampu. Namun, puas hati sebab ekzema makin lenyap.
Doktor bertanya adakah kami memelihara kucing, jawapannya tentu tidak, sebab saya sendiri takut kucing. Namun, kami mempunyai sejarah keluarga berpenyakit asma/lelah. Jadi, Hajar tidak asma tetapi mengalami ekzema pula. Mujur juga di kepala sahaja, tidak seluruh tubuh.
Sebelum nama Hajar dipanggil, saya memerhatikan seorang kanak-kanak yang muka dan tubuhnya bermasalah ekzema. Namanya Aishah dan berusia satu tahun tiga bulan. Menurut ibunya, sekarang ini keadaan Aishah tidak teruk berbanding ketika masih bayi. Kesian melihat pipi Aishah yang tembam dan putih melepak ada kesan garu sehingga berdarah. Di tangannya juga begitu. Saya nasihatkan ibu Aishah supaya menyarungkan stoking pada tangannya, rupa-rupanya sudah dibuat tetapi Aishah pandai membuka stoking itu untuk membolehkannya terus menggaru. Saya pernah lakukan perkara yang sama pada Hajar, memang betullah, dia buka juga stoking itu. Hendak marah pun susah, budak-budak, mereka tidak faham. Cara terbaik untuk pastikan dia tidak garu hingga berdarah, jangan lupa potong kukunya agar sentiasa pendek dan rapi. Jauhkan juga daripada haiwan peliharaan seperti kucing, arnab dan hamster. Ada kemungkinan mereka alah terhadap bulu haiwan berkenaan. Bagi mereka yang mempunyai anak bermasalah ekzema, usah putus asa untuk mengubati si kecil...

2 comments:

Unknown said...

hai... kalau dah penulis kesihatan tu...

Lily Haslina Nasir said...

salam kak ana!
wah blog kak ana akan jadi blog wajib kita singgah ya!