Thursday, December 18, 2008

Pusat Perubatan Universiti Malaya

18 Disember 2008...

Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sudah jauh berubah. Pesat dengan kerja-kerja baik pulih. Semakin luas dan nampak terus sibuk. Tidak lagi seperti 15 tahun lalu. Kali terakhir saya menjejakkan kaki di situ ialah kira-kira enam tahun lalu. Ketika itu, menghadiri kongres perubatan. Sebelum itu, beberapa kali juga saya berkunjung ke sana untuk menemuramah pakar perubatan dan meninjau sistem pengendalian ubat-ubatan di pusat perubatan itu yang masih dikenali sebagai Universiti Hospital. Semua itu tinggal kenangan. Tatkala kaki melangkah ke PPUM sekali lagi pada 19 November 2008, saya memandang ke kaunter farmasi dan memaklumkan kepada anak saya bahawa saya pernah duduk di dalam kaunter farmasi itu dan melihat sendiri agihan ubat-ubatan. Namun, pada hari itu kunjungan saya bertujuan menemankan ibu menjalani pemeriksaan mata di Jabatan Oftalmologi di tingkat bawah PPUM.
Sebulan selepas itu, iaitu pada 17 Disember 2008, saya sekali lagi ke PPUM menemani ibu bapa dan suami untuk menjalani rawatan di situ. Hasil pemeriksaan terhadap mata ibuku, doktor menasihatkannya supaya menjalani pembedahan kerana kataraknya sudah cukup masak. Kami akur jika itu jalan penyelesaian terbaik tambahan pula ibu saya tidak dapat melihat dengan mata kanannya, pasti selaput pada mata kanannya menebal hingga menyebabkan dia tidak mampu melihat.
Apa pula kisahnya bapa dan suamiku? Mereka dikehendaki datang lagi pada 23 Januari 2009 manakala ibuku pula dikehendaki datang sekali lagi pada 19 Disember untuk menjalani pre operation examination - pemeriksaan tekanan darah, ECG dan ujian darah untuk mengetahui paras glukos dalam darah sebelum pembedahan. Selepas didapati semuanya OK, tarikh pembedahan ditetapkan, iaitu 31 Disember 2008. Cepat! Agak mengejutkan tetapi mulanya pembedahan dijadualkan pada Mei 2009 tetapi entah macam mana selepas saya mengajukan soalan, berapa pembedahan yang dilakukan pada setiap hari didengari oleh seorang doktor, ada pula tarikh untuk ibu saya dan doktor bertanya adakah ibu saya bersedia untuk dibedah pada 31 Disember? Jawapan saya, boleh. lagi cepat lagi bagus. Doktor mengatakan ibu saya akan ada mata baru untuk sambut tahun baru.
Insya-Allah pada 31 Disember ini, ibuku akan dibedah. Ini kali kedua, ibuku jalani pembedahan katarak. Kali pertama, kira-kira lima tahun lalu di Hospital Mata Tun Hussein Onn, Petaling Jaya. Mata sebelah kiri dan kali ini kanan pula. Mudah-mudahan semuanya berjalan lancar.

Sembang di PPUM

Dalam pada menunggu pemeriksaan untuk ibuku, saya saya berbual-bual dengan seorang lelaki berbangsa Hindu. Peramah dan fasih berbahasa Melayu. Itulah yang boleh saya katakan. Orangnya tinggi dan masih nampak kuat walaupun usia sudah 79 tahun dan menghidap penyakit pakej - diabetes, tekanan darah tinggi dan jantung. Namun, semuanya terkawal. Dia pernah jalani pembedahan katarak tiga tahun lalu di Melaka dan pada 15 Januari 2009, dia sekali lagi dijadualkan menjalani pembedahan katarak pada mata sebelah kanan pula. Saya kagum dengan semangat dan kekuatannya. Dia rancak bercerita mengenai anaknya, empat orang semuanya, tiga lelaki dan seorang perempuan. Seorang daripada doktor dan memiliki klinik persendirian. Dia duduk di Pelabuhan Klang dan menaiki bas pada jam 6.30 pagi untuk ke PPUM. Bas yang dinaiki berhenti di EPF Jalan Gasing dan dia berjalan kaki ke PPUM. Dia tiba di hospital itu pada jam 8 pagi. Saya terkejut kerana dia sendirian dan masih larat berjalan ke hospital. Dia mengatakan tidak mahu menyusahkan anak-anaknya tetapi bagiku, mengapa tidak seorang pun anaknya yang mahu menemaninya, Mungkin dia bertegas mahu pergi bersendirian? Mungkin juga. Saya bertanya, apa pekerjaannya? Pantas dia menjawab, polis dan sudah berkunjung ke seluruh Malaysia dan Asia. Jawatan terakhirnya Inspektor dan gaji awalnya hanya RM35. Dia sempat mengatakan generasi sekarang lebih cenderung
untuk mengejar gaji besar, rumah besar dan kereta besar. Saya katakan sudah pastilah sebab ramai yang berlumba-lumba untuk senang. Dia sekadar tersenyum. Perbualan rancak saya terhenti apabila nama ibu saya dipanggil untuk diperiksa. Semoga dia juga selamat dibedah nanti.

2 comments:

rynas said...

sekarang mmg semua mengejar duit..susah nak cari org yg sanggup bekerja bukan kerana gaji yg tinggi dan mahal.
seminggu lebih jer lagi mak kak ana nak dibedah..moga dia selamat menjalani pembedahan. Amin

Unknown said...

Budak2 sekarang nak gaji besar dan kerja senang...