Thursday, March 19, 2009

Irna Yakin Travel & Tours



Kali pertama Nana jumpa Dato Siti


Kenapa pulak mata ustaz tu?

Haji Shahril cerita pasal kad Kembara...

Ini dia, ofis Irna Yakin Travel

Cerita ustazah dalam paper ni...

Sila masuk...

Wah, cantik bilik saya...

Kusyi tengok apa tu?

Pada 4 Mac 2009, Penasihat Khas Umrah Irna Yakin Travel & Tours, Dato' Siti Nor Bahyah dan suami, Ustaz Wan Akashah Abdul Hamid berkunjung ke pejabat Irna Yakin Travel & Tours di Taman Melati, Setapak, buat kali pertama.
Dato' Siti nampak ceria dan teruja sejurus memasuki Irna Yakin Travel manakala ustaz Wan Akashah pula tersenyum simpul serta gembira.
Turut menemani pasangan itu ialah ibu Dato' Siti, Hajah Sofiah. Majlis ringkas diakhiri dengan jamuan makan tengah hari di sebuah restoran berhampiran. Turut hadir pada majlis ringkas tetapi penuh bermakna ialah tauke atau CEO Irna Yakin Travel, Dato' Masnawi Aton. Lihatlah gambar-gambar yang diambil oleh Zulkeflee Haron ini...

Sirah Junjungan - Tahajud Cinta

Semalam, saya sekeluarga menyaksikan teater Sirah Junjungan - Tahajud Cinta. Menarik dan penuh syahdu! Sukar mengawal emosi tatkala mendengar selawat dan salam serta lagu-lagu yang memuji kebesaran dan keagungan junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW.
Malam tadi, penyanyi nombor 1 negara, Dato Siti Nurhaliza menyampaikan selawat dan lagu-lagu nasyid sepanjang pementasan itu. Dengarnya sebelum ini, Jamal Abdillah dan Jumaat, Mawi manakala malam terakhir, (Ahad), Amy Search pulak. Bagi saya, kemunculan penyanyi bersuara lunak dan terkenal sepanjang pementasan Sirah Junjungan sebagai satu bonus kepada penonton. Namun, saya tidak mengetahui teater Sirah Junjungan akan diserikan dengan persembahan dan kehadiran artis terkemuka.
Tidak seperti PGL, M The Opera dan konsert M Nasir, suasana jauh berbeza. Istana Budaya dibanjiri manusia, begitu meriah!
Namun, pementasan Sirah Junjungan tidak begitu menjadi perhatian walaupun sekarang ini, musim cuti persekolahan. Mengapa? Kurang publisiti atau tidak berminat untuk menyaksikan dan mengetahui sejarah Muhammad bin Abdullah?
Tidak berminatkah masyarakat kita untuk mengenali sejarah junjungan mulia atau mereka sudah arif mengenai sejarah Rasulullah? Yang pasti, setiap orang ada jawapan tersendiri.
Apapun jawapan anda, bagi saya, luangkan sedikit masa, ketepikan kesibukan buat seketika untuk bersama-sama anak gadis dan teruna menyaksikan pementasan Sirah Junjungan. Banyak manfaat yang pasti boleh dipelajari si anak dan diri sendiri, mengenang pahit getir perjuangan baginda Rasul mengembangkan syiar Islam, penghijrahan dari Makkah ke Madinah dan saat memilukan lagi menyentuh perasaan apabila baginda wafat.
Mungkin kita pernah pelajari sejarah Nabi ketika zaman persekolahan dulu tetapi sebagai manusia, kita sering terlupa dan perlu sentiasa diingatkan. Mungkin juga ketika zaman persekolahan, penghayatan tidak dapat dirasakan.
Mungkin pementasan sejarah Nabi itu dapat mengingatkan anda semula pada sirah Rasul. Biarpun bukan semua sejarah perjuangan dan peperangan dapat disaksikan menerusi pementasan itu, tetapi cukup bermakna untuk kita terus mengingati, menyayangi dan menyanjung insan agung itu. Banyak yang boleh dipelajari dan diketahui.
Sebagai contoh, anak gadis saya terkejut apabila mengetahui hamba kepada Siti Khadijah Khuwalid yang bernama Maisarah adalah seorang lelaki kerana menerusi bacaannya, dia menyangka Maisarah adalah wanita. Menerusi lakonan di dalam pementasan itu, barulah dia mengetahui bahawa Maisarah adalah lelaki.
Masih ada masa lagi jika mahu menyaksikan Sirah Junjungan kerana akan dipentaskan sehingga 22 Mac ini. Insya-Allah, kami sekeluarga akan ke sana sekali lagi pada Sabtu ini (atas permintaan anak-anak).
Ada orang ternama yang turut hadir menyaksikan pementasan itu semalam, antaranya, Datuk Mukhriz Mahathir dan isteri, Dato' Dr Mashitah Ibrahim dan Rosyam Nor sekeluarga.
Sekalung tahniah dan penghargaan kepada Erma Fatimah dan semua yang berusaha menjayakan pementasan itu!

Friday, March 13, 2009

Perhimpunan Agung Umno

Assalamualaikum dan Salam Hormat.
Dari 24 Mac hingga 28 Mac ini, Pusat Dagangan Dunia Putra akan menjadi tumpuan jutaan manusia - ahli Umno, perwakilan, pemimpin, pemerhati, wartawan tempatan dan luar negara, jurugambar, peniaga dsbnya.
Kami di Irna Yakin Travel juga sedang sibuk membuat persiapan terakhir untuk menantikan kemunculan kad Kembara Irna yang akan diperkenalkan kepada umum pada 23 Mac ini.
Alhamdulillah, Irna Yakin berjaya mendapat booth di tapak perhimpunan agung Umno sepanjang seminggu itu nanti. Justeru, jika anda pengunjung atau pembaca blog ini, jangan lupa singgah di booth Irna Yakin Travel & Tours di L82, berhampiran TDC. Anda pasti tidak terlepas pandang kerana booth kami dekat laluan masuk. Kalau tak nampak, alamatnya...
Bersempena minggu pengenalan kad Kembara Irna, anda berpeluang mendapat hadiah menarik, percutian domestik dan luar negara.
Bukan itu sahaja, habuan dan ganjaran memberangsangkan menanti anda sebagai pemegang kad Kembara Irna selagi hayat dikandung badan. Antaranya, diskaun RM250 setiap kali menunaikan umrah bersama-sama Irna Yakin Travel, kemudahan touch n' go, komisyen ahli dapat ahli, bantuan kemalangan dan kecemasan V-Assist 24 jam (percuma untuk satu tahun, selepas itu, bayaran minimum dikenakan), diskaun sehingga 30% bagi tempahan percutian, diskaun sehingga 30% di butik, spa, restoran dan kedai terpilih.
Jadi, tunggu apa lagi? Usah lepaskan peluang keemasan ini. Temui kami di L82 nanti!

Wednesday, March 04, 2009

Kad Kembara Irna

Kad Kembara Irna - bakal temui anda.
Nantikan kemuculannya
Eksklusif daripada Irna Yakin Travel & Tours


Tuesday, March 03, 2009

Suatu Masa

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Harap semua pembaca dan pengunjung blog ini sihat walafiat dan sentiasa dalam peliharaan Allah.
Irna Yakin Travel & Tours Sdn Bhd sudah beroperasi sepenuhnya di Taman Melati. Harap kawan-kawan jangan lupa datang ke sini, kalau tak nak pergi melancong pun tak apa, janji datang buat kunjungan untuk berkenalan dan eratkan silaturahim.
Baru-baru ini, saya menerima undangan untuk menghadiri konsert M Nasir di Istana Budaya. Rezeki jangan ditolak, kata orang tua-tua. Jadi, saya dan suami pun pergilah menonton konsert M Nasir. Kali pertama tau pergi konsert tapi bukan kali pertama ke Istana Budaya sebab pernah menonton Teater Puteri Gunung Ledang dan satu lagi teater, lupa pulak tajuknya M The Opera (agaknya). Sorry, tak ingat, ciri-ciri semakin veteran.
Best!!!Tidaklah mengimbau nostalgia tetapi lagu-lagu M Nasir memang umph...senikatanya, terutama Kepadamu Kekasih, Suatu Masa dan Keroncong Untuk Ana. Malangnya, pada malam itu M Nasir tak nyanyi lagu Kepadamu Kekasih. A bit hampa!
Persembahan memang tip top. Tiga jam...M Nasir terus bertenaga dan bersemangat menyanyikan lagu-lagunya, Mentera Semerah Padi bagai menaikkan semangat penonton tetapi semua control macho dan cun je, maklumlah dalam Istana Budaya, perlu behave...
Lagu Suatu Masa benar-benar mencuri perhatian sebab semua penonton (rasanyalah) mendendangkan lagu itu apabila M Nasir menyanyikannya dengan hanya memetik gitar (tanpa iringan muzik). Semua nampaknya puas hati, esp peminat M Nasir...
Selesai konsert, saya menoleh ke belakang dan nama saya dipanggil, eh kak ana....
Siapa dia? Pernah ke Shanghai bersama-sama saya dan kini bekerja di Astro Awani.
Hubungan yang terputus beberapa tahun dapat dijalin semula kerana selepas mengambil VSS dari TV3, dia mulanya bekerja dengan NGO tetapi mungkin jodoh di situ pun tidak lama kerana kurang sesuai dan tidak serasi. Akhirnya balik ke bidang asal.
Sebelum berlalu pulang, saya terlihat ramai tetamu yang cuba mendapatkan tanda tangan M Nasir. Namun begitu, saya tidak begitulah sebab pernah menemuramahnya dan arwah isterinya. Bagi peluang orang lain pulak! Rasanya ramai yang hampa (dengar cerita kawan-kawan) sebab tak dapat tiket M Nasir. Nampaknya, penganjur kena cari jalan buat konsert M Nasir lagilah, macam PGL, bersiri-siri jadinya!

Monday, February 16, 2009

Ofis baruku

Salam untuk semua pembaca dan pengunjung blog ni.
Saban hari makin sibuk nampaknya! Tapi segala-galanya under control.
Sekarang ini, ofis baru dah 80 peratus siap dah dan boleh masuk, insya-Allah minggu depan.
Hari Khamis perabot akan dimasukkan. Teruja gak tengok ofis baru ni, berkonsep moden kontemporari. Paling saya jatuh hati, pintunya...simple namun menawan!
Tak sabar dah nak bekerja di tempat baru tu nanti, sekarang ni masih di Danau Kota.
Hampir setiap hari, saya melawat ofis baru ni, hinggakan Ahad pun pergi jugak, saja je lunch dengan famili di situ, di restoran D Templer - masakan chinese muslim. Sedap gak, budak-budak pun suka, esp tom yam dan grilled bean curd. Mulanya humaira kata kenyang tapi bila tengok sotong bercili, seleranya terbukalah.
Ofis baru ni di Taman Melati, banyak restoran di situ. Saya perhatikan yang paling jadi tumpuan ialah Leha Kel Food - Ahad pun full house. Di situ ada pelbagai lauk-pauk dan manisan. Bukan sahaja hidangan Kelantan tetapi ikan bakar, cencaluk, ulam-ulaman pun ada. Paling saya suka di situ laksam, sagu gula melaka dan lompat tikam.
Banyak lagi yang ada, mungkin memenuhi cita rasa ramai. Dengar cerita, kakitangan UIA pun sering makan di sana. Apapun, jangan ghairah sangat untuk makan ni, kesihatan badan pun mesti dijaga kerana ingatlah, perut adalah sarang penyakit.
Jadi, biarlah berpada-pada. Makanan yang diambil terlalu banyak boleh memudaratkan dan jika kurang makan pun boleh memudaratkan. Beringat!

Thursday, February 05, 2009

Umrah Perdana

Assalamualaikum. Harap anda sihat dan sentiasa dirahmati Maha Esa.

Anda berhasrat merngerjakan ibadat umrah bersama-sama Dato' Siti Nor Bahyah? Jika mahu, jangan lepaskan peluang keemasan ini dengan menyertai rombongan umrah perdana kami yang dijadualkan pada 29 Mei 2009 bersempena cuti persekolahan. Kembara ibadat ke Tanah Suci ini dijadualkan mengambil masa kira-kira 12 hari 10 malam. Pengisiannya insya-Allah melekat di hati anda! Gandingan mantap Dato' Siti Nor Bahyah sebagai penceramah motivasi tersohor tanah air dan pengalaman bekas pegawai dan pembimbing jemaah haji dan umrah Tabung Haji Travel, Ustaz Mohd Roslan pasti menyebabkan anda memperoleh penghayatan ibadat sepanjang mengerjakan umrah bersama-sama Irna Yakin Travel & Tours.

Namun, jika ada sudah merancang percutian pada musim cuti persekolahan ini dan tidak berkesempatan bersama-sama kami untuk menunaikan umrah, bolehlah pilih tarikh lain, bermula April ini hingga akhir Ramadan.

Insya-Allah, anda masih mendapat bimbingan daripada Dato' Siti Nor Bahyah atau suami, Ustaz Wan Akashah Abdul Hamid dan Ustaz Mohd Roslan sebagai melengkapkan lagi ilmu sebelum melangkah ke Tanah Suci. Pada Syaaban/Ramadan, insya-Allah, Dato' Siti Nor Bahyah ada bersama-sama anda jika mahu beribadat di dua kota suci.


Harga? Bermula dari RM5,220 seorang (empat orang sebilik)
Jika mahu duduk dua orang sebilik harganya RM6,000
Di Makkah, menginap di Ufuk al-Fateh/Hotel Shobra manakala di Madinah, Mawaddah Hotel/Al-Fayrous.

Tuesday, February 03, 2009

Nostalgia Berita Harian

Tidak sempat saya coretkan di dalam blog ini minggu lalu apabila menjejakkan kaki semula ke pejabat Berita Harian di Jalan Riong, Bangsar, Kuala Lumpur. Wah, tersergam megah dan indah Balai Berita, yang banyak meninggalkan kenangan manis kepada diriku.
Sudah semestinya saya gembira apabila bertemu kawan, kenalan dan rakan-rakan lama. Dari boss hinggalah vendor, masih ada yang mengenaliku biarpun sudah empat tahun tidak menghayun langkah ke sana, iaitu sejak bertugas di Berita Publisihing bersama-sama majalah Jelita. Tidak sangka tetapi semuanya nyata. Kali terakhir saya meninggalkan tempat itu ialah pada 31 januari 2005 dan pada 29 Januari 2009, kakiku melangkah ke sana sekali lagi. Namun, kunjunganku ke sana bukan untuk mencari peluang pekerjaan di sana tetapi untuk mencari peluang menjalin kerjasama dengan akhbar Berita Harian/Berita Minggu.
Pertemuan dengan Kak Yati dan Encik Mizal pada dasarnya nampak positif. Insya-Allah, harap segala-galanya berjalan lancar demi kebaikan dan hasrat membawa umat Islam ke Tanah Suci.
Seronok apabila sempat bertemu rakan lama, namun, tempoh saya di sana terasa singkat, tidak cukup rasanya tidak meluangkan masa lebih lama di pejabat lama. Tempat jatuh lagi dikenang, ini pula tempat menimba ilmu dan mencari rezeki.
Diharap pemergian itu bukan yang terakhir buat saya dan dua lagi rakan setugas yang turut menghadiri perbincangan dengan Kak Yati dan Mizal. Seronok juga melihat telatah Mizal yang banyak idea dan pandangan.
Ok. saya sambung nanti. Ada kerja sedikit ni. Temu janji yang perlu dipenuhi.

Monday, January 19, 2009

Isnin Yang Ceria

Pagi ini sebelum ke pejabat, saya ke rumah ibu kerana mahu mengambil sesuatu. Selepas mengambil barangan yang diperlukan, saya membuka periuk di atas dapur. Bau kari kambing menusuk ke hidung. Apa lagi, ambil roti tiga keping dan makanlah...Sedap...Sudah menjadi lumrah, saya perlu bersarapan awal, perut akan berkeroncong sekitar jam 8 pagi, jadi perlu diisi terlebih dulu sebelum memulakan kerja.
Ketika enak menikmati kari kambing dan roti, ibu bertanya, hendak ke mana saya pada hari ini sebab berbaju kurung Riau warna hijau. Baju ini hanya dipakai sesekali sahaja, malah di pejabat terdahulu pun, saya belum pernah memakainya, cuma ketika menghadiri majlis tertentu pada sebelah malam. Saya katakan belum confirm lagi hendak ke mana, cuma cadangan mahu ke Spectrum Ampang, insya-Allah pada sebelah petang bertemu seorang usahawan yang buka kedai cermin mata. Diharap usahawan yang mahu ditemui itu sudi meluangkan masa untuk saya bertemunya pada hari ini.
Setiba sahaja di pejabat dan duduk seketika, saya menghubungi Salwani, Penyelaras PR Avon, hendak minta tajaan barangan Avon untuk kad keahlian yang bakal dikeluarkan oleh Irna Yakin Travel & Tours. Alhamdulillah, tidak perlulah saya faks surat itu, sekadar e-mel sahaja kepada mereka. Harap dipermudahkan segala urusan hari ini...Banyak yang lagi yang perlu diminta dengan kenalan dan kawan-kawan di luar sana. Semoga semuanya bermurah hati dan sedia membantu biarpun saya tiada lagi di dalam dunia media massa.

Friday, January 16, 2009

Sinusitis

Pagi ni, jam 8.30 pagi, saya sudah terpacak di Hospital Ampang Puteri. Bukan mengajak orang atau menemankan sesiapa tetapi diriku sendiri. Sudah hampir tiga minggu, hidung ni asyik tersumbat, bukanlah tersumbat 24 jam tetapi ada time. Kadangkala OK, kadang-kadang sengau dibuatnya! Malu juga seharian semalam meeting, sengau je bunyinya, rasa tak selesa, orang ingatkan selesema tetapi tidak juga. Tersumbat. Akhirnya, pagi ini, terus sahaja ke Ampang Puteri, mujur tidak ramai orang dan Dr Aminuddin Saim pun ada. Dah lama tidak jumpa dia, nampak susut sikit. Kecoh jugalah sebab lama tidak berjumpa, macam-macamlah soalan dan jawapan yang timbul.
Hasil pemeriksaan, ada sedikit nanah di sebelah kanan hidungku. Mujur tidak serius lagi, sekadar perlu ambil antibiotik dan nasal spray. Dr amin kata, ada sinus dan bertanya apakah saya pening dan tidak selesa sebelah pagi. Alhamdulillah, tidaklah rasa pening atau malas nak bangun ke ofis setiap pagi. Mungkin sebab itu juga saya lewat mendapatkan rawatan. Setelah hampir tiga minggu, barulah hendak ke hospital. Jadi, jangan jadi seperti saya, jika hidung tersumbat, jangan dibiarkan lama-lama, bimbang memudaratkan kesihatan dan deria bau anda.
Setelah itu ke JKR Kuala Lumpur untuk bertemu Ustazah siti nor bahyah yang berceramah di surau JKR pada minggu ketiga setiap bulan, di antara jam 1 tengah hari hingga dua petang. Ayuh memeriahkan lagi majlis ilmu ini. Minggu hadapan, di tempat dan waktu yang sama, giliran Datuk Dr Fatmah El-Zahraa pula. Jangan lepaskan peluang mendalami ilmu agama. Ramai juga jemaah wanita yang hadir pada majlis ceramah itu.
Ustazah semakin anggun dan hadir bersama ibunya, Sopiah. Biarpun sudah berusia 63 tahun, namun daripada raut wajahnya, saya lihat makcik Sopiah mesti cantik ketika zaman mudanya.
Sesudah menghadiri ceramah itu dan berbincang serba sedikit dengan ustazah, saya pun pulang ke pejabat meneruskan kerja.