Thursday, March 19, 2009

Sirah Junjungan - Tahajud Cinta

Semalam, saya sekeluarga menyaksikan teater Sirah Junjungan - Tahajud Cinta. Menarik dan penuh syahdu! Sukar mengawal emosi tatkala mendengar selawat dan salam serta lagu-lagu yang memuji kebesaran dan keagungan junjungan mulia, Nabi Muhammad SAW.
Malam tadi, penyanyi nombor 1 negara, Dato Siti Nurhaliza menyampaikan selawat dan lagu-lagu nasyid sepanjang pementasan itu. Dengarnya sebelum ini, Jamal Abdillah dan Jumaat, Mawi manakala malam terakhir, (Ahad), Amy Search pulak. Bagi saya, kemunculan penyanyi bersuara lunak dan terkenal sepanjang pementasan Sirah Junjungan sebagai satu bonus kepada penonton. Namun, saya tidak mengetahui teater Sirah Junjungan akan diserikan dengan persembahan dan kehadiran artis terkemuka.
Tidak seperti PGL, M The Opera dan konsert M Nasir, suasana jauh berbeza. Istana Budaya dibanjiri manusia, begitu meriah!
Namun, pementasan Sirah Junjungan tidak begitu menjadi perhatian walaupun sekarang ini, musim cuti persekolahan. Mengapa? Kurang publisiti atau tidak berminat untuk menyaksikan dan mengetahui sejarah Muhammad bin Abdullah?
Tidak berminatkah masyarakat kita untuk mengenali sejarah junjungan mulia atau mereka sudah arif mengenai sejarah Rasulullah? Yang pasti, setiap orang ada jawapan tersendiri.
Apapun jawapan anda, bagi saya, luangkan sedikit masa, ketepikan kesibukan buat seketika untuk bersama-sama anak gadis dan teruna menyaksikan pementasan Sirah Junjungan. Banyak manfaat yang pasti boleh dipelajari si anak dan diri sendiri, mengenang pahit getir perjuangan baginda Rasul mengembangkan syiar Islam, penghijrahan dari Makkah ke Madinah dan saat memilukan lagi menyentuh perasaan apabila baginda wafat.
Mungkin kita pernah pelajari sejarah Nabi ketika zaman persekolahan dulu tetapi sebagai manusia, kita sering terlupa dan perlu sentiasa diingatkan. Mungkin juga ketika zaman persekolahan, penghayatan tidak dapat dirasakan.
Mungkin pementasan sejarah Nabi itu dapat mengingatkan anda semula pada sirah Rasul. Biarpun bukan semua sejarah perjuangan dan peperangan dapat disaksikan menerusi pementasan itu, tetapi cukup bermakna untuk kita terus mengingati, menyayangi dan menyanjung insan agung itu. Banyak yang boleh dipelajari dan diketahui.
Sebagai contoh, anak gadis saya terkejut apabila mengetahui hamba kepada Siti Khadijah Khuwalid yang bernama Maisarah adalah seorang lelaki kerana menerusi bacaannya, dia menyangka Maisarah adalah wanita. Menerusi lakonan di dalam pementasan itu, barulah dia mengetahui bahawa Maisarah adalah lelaki.
Masih ada masa lagi jika mahu menyaksikan Sirah Junjungan kerana akan dipentaskan sehingga 22 Mac ini. Insya-Allah, kami sekeluarga akan ke sana sekali lagi pada Sabtu ini (atas permintaan anak-anak).
Ada orang ternama yang turut hadir menyaksikan pementasan itu semalam, antaranya, Datuk Mukhriz Mahathir dan isteri, Dato' Dr Mashitah Ibrahim dan Rosyam Nor sekeluarga.
Sekalung tahniah dan penghargaan kepada Erma Fatimah dan semua yang berusaha menjayakan pementasan itu!

No comments: