Monday, January 19, 2009

Isnin Yang Ceria

Pagi ini sebelum ke pejabat, saya ke rumah ibu kerana mahu mengambil sesuatu. Selepas mengambil barangan yang diperlukan, saya membuka periuk di atas dapur. Bau kari kambing menusuk ke hidung. Apa lagi, ambil roti tiga keping dan makanlah...Sedap...Sudah menjadi lumrah, saya perlu bersarapan awal, perut akan berkeroncong sekitar jam 8 pagi, jadi perlu diisi terlebih dulu sebelum memulakan kerja.
Ketika enak menikmati kari kambing dan roti, ibu bertanya, hendak ke mana saya pada hari ini sebab berbaju kurung Riau warna hijau. Baju ini hanya dipakai sesekali sahaja, malah di pejabat terdahulu pun, saya belum pernah memakainya, cuma ketika menghadiri majlis tertentu pada sebelah malam. Saya katakan belum confirm lagi hendak ke mana, cuma cadangan mahu ke Spectrum Ampang, insya-Allah pada sebelah petang bertemu seorang usahawan yang buka kedai cermin mata. Diharap usahawan yang mahu ditemui itu sudi meluangkan masa untuk saya bertemunya pada hari ini.
Setiba sahaja di pejabat dan duduk seketika, saya menghubungi Salwani, Penyelaras PR Avon, hendak minta tajaan barangan Avon untuk kad keahlian yang bakal dikeluarkan oleh Irna Yakin Travel & Tours. Alhamdulillah, tidak perlulah saya faks surat itu, sekadar e-mel sahaja kepada mereka. Harap dipermudahkan segala urusan hari ini...Banyak yang lagi yang perlu diminta dengan kenalan dan kawan-kawan di luar sana. Semoga semuanya bermurah hati dan sedia membantu biarpun saya tiada lagi di dalam dunia media massa.

Friday, January 16, 2009

Sinusitis

Pagi ni, jam 8.30 pagi, saya sudah terpacak di Hospital Ampang Puteri. Bukan mengajak orang atau menemankan sesiapa tetapi diriku sendiri. Sudah hampir tiga minggu, hidung ni asyik tersumbat, bukanlah tersumbat 24 jam tetapi ada time. Kadangkala OK, kadang-kadang sengau dibuatnya! Malu juga seharian semalam meeting, sengau je bunyinya, rasa tak selesa, orang ingatkan selesema tetapi tidak juga. Tersumbat. Akhirnya, pagi ini, terus sahaja ke Ampang Puteri, mujur tidak ramai orang dan Dr Aminuddin Saim pun ada. Dah lama tidak jumpa dia, nampak susut sikit. Kecoh jugalah sebab lama tidak berjumpa, macam-macamlah soalan dan jawapan yang timbul.
Hasil pemeriksaan, ada sedikit nanah di sebelah kanan hidungku. Mujur tidak serius lagi, sekadar perlu ambil antibiotik dan nasal spray. Dr amin kata, ada sinus dan bertanya apakah saya pening dan tidak selesa sebelah pagi. Alhamdulillah, tidaklah rasa pening atau malas nak bangun ke ofis setiap pagi. Mungkin sebab itu juga saya lewat mendapatkan rawatan. Setelah hampir tiga minggu, barulah hendak ke hospital. Jadi, jangan jadi seperti saya, jika hidung tersumbat, jangan dibiarkan lama-lama, bimbang memudaratkan kesihatan dan deria bau anda.
Setelah itu ke JKR Kuala Lumpur untuk bertemu Ustazah siti nor bahyah yang berceramah di surau JKR pada minggu ketiga setiap bulan, di antara jam 1 tengah hari hingga dua petang. Ayuh memeriahkan lagi majlis ilmu ini. Minggu hadapan, di tempat dan waktu yang sama, giliran Datuk Dr Fatmah El-Zahraa pula. Jangan lepaskan peluang mendalami ilmu agama. Ramai juga jemaah wanita yang hadir pada majlis ceramah itu.
Ustazah semakin anggun dan hadir bersama ibunya, Sopiah. Biarpun sudah berusia 63 tahun, namun daripada raut wajahnya, saya lihat makcik Sopiah mesti cantik ketika zaman mudanya.
Sesudah menghadiri ceramah itu dan berbincang serba sedikit dengan ustazah, saya pun pulang ke pejabat meneruskan kerja.

Tuesday, January 13, 2009

Kelengkapan umrah dan haji

Assalamualaikum. Harap pembaca blog ini sihat-sihat belaka. dan sentiasa dalam lindungan Maha Esa. Saban hari ada sahaja yang bermain dalam fikiran mengenai kembara agung ke Tanah Suci. Hari ini, saya dan rakan sepejabat, Ustaz Roslan, menerima kunjungan tetamu dari sebuah syarikat yang mahu bekerjasama dengan pihak kami untuk memasarkan produk barangannya, iaitu kelengkapan umrah dan haji. Memang teruja dibuatnya. Nampak-nampaknya, dipermudahkan apabila kita mahu melakukan perkara baik-baik ini. Baru cakap pasal beg, tiba-tiba Datin tu bangkitkan juga pasal beg dengan kami walhal mulanya kedatangan beliau hanya untuk mempromosi telekung sahaja. Macam-macam pula yang mahu dipromosikan . Alhamdulillah...
Ada juga kenalan di luar sana mahu memasarkan minyak urut. OK juga tu, sesuai dibawa ke Tanah Suci juga. Jika tidak digunakan di Tanah Suci, di tanah air sendiri pun boleh dijadikan penawar.
Jika anda juga berminat untuk bekerjasama dengan kami, sila hubungi saya.

Monday, January 12, 2009

Pakej Umrah Bersama Dato Ustazah Siti Nor Bahyah

Anda berhasrat menunaikan umrah atau mungkin ada saudara-mara anda mahu mengerjakan ibadat itu? Jangan lupa bagi tau saya. Lebih menarik, anda boleh bermesra dan mendekati ustazah Siti Nor Bahyah. Banyak tip, doa dan panduan yang boleh anda ketahui daripada Ustazah Siti Nor Bahyah ini. Jadi, jangan lepaskan peluang keemasan ini.

Berikut ialah harga pakej:

Mulai April 2009.

Harga: Dari RM5,499 (dewasa)
RM5,047 (kanak-kanak).


14 Hari 12 Malam
Harga dari: RM5,947 (dewasa)
RM5,257 (Kanak-kanak).

Penginapan: Makkah (Ufuk Al-Fateh (atau setaraf dengannya)
Madinah : Anuar Madinah (atau setaraf dengannya).

Minat? Hubungi saya: 0129075656.

Terima kasih.

Friday, January 09, 2009

Semalam Berlalu

Semalam, tidak sempat saya coretkan di dalam blog ini kerana kesuntukan masa. Seperti biasa, sesudah menghantar Hajar, saya dan suami bersarapan dan memilih Restoran Rejab di Jalan Belangkas. Pilihanku tose manakala suami roti canai. Sesudah itu, menghantarnya pulang dan saya pun memulakan kerja, tugasku ke pejabat Matta di Desa Pandan. Hati tertarik dengan poster Malaysia Umrah and Muslim Tour (Masum) yang diadakan untuk kali kedua di negara ini. Tahun lalu, saya mengajak anak-anak ke tapak pameran Masum, tempatnya di Shah Alam, seksyen 7. Tahun ini, nampaknya sekali lagi di tempat yang sama, lantas saya memberi pandangan bahawa tempat pameran itu kurang sesuai sebab persekitarannya yang panas terik. Biarpun di ruang pameran tertutup tetapi kasihan melihat peniaga kecil di tapak pameran yang terpaksa berpanas seharian. Cuaca sebegitu juga menyebabkan kita yang datang pun terasa malas hendak menjamu mata, apatah lagi membeli. Mungkin lebih selesa jika diadakan di PWTC atau Kuala Lumpur Convention Centre seperti Matta Fair atau Mas Fair. Saya berharap pihak yang terbabit akan mengadakan pameran seumpama itu di tempat yang lebih selesa untuk menarik lebih ramai pengunjung pada masa akan datang.
Pada sebelah petang, di pejabat, diadakan mesyuarat dan diikuti kunjungan ke pejabat Irna Yakin Travel and Tours yang sedang dalam kerja-kerja baik pulih. Insya-Allah, pertengahan bulan depan, kakitangan pelancongan akan berpindah ke pejabat baru itu di Taman Melati. Dekat betul dengan Secret Recipe dan Satay Haji Samuri. Malah, tempat itu boleh disifatkan memang 'happening' sebab banyak restoran dan perniagaan...senang nak layan kawan-kawan jika datang menjenguk nanti.

Wednesday, January 07, 2009

Reaksi Hazim

"Umi tak kerja ke hari ini?" tanya Hazim apabila melihat uminya tiba di rumah jam 5.15 petang semalam. Dia nampaknya terkejut melihat uminya yang sering pulang lewat, selalunya selepas Maghrib atau menghampiri waktu Maghrib selama bertahun-tahun terpacaka di muka pintu.
Spontan saya menjawab, umi kerja, tapi sekarang umi balik cepat...dia memandang kehairanan. Dalam hatiku berkata-kata, tidak seronokkah dia uminya pulang awal atau terasa kelainan kerana melihat uminya tiba awal daripada kebiasaan. Penghijrahan kali ini nampaknya merubah jadual harian saya. Jika dulu, jangan harap boleh minum petang pada hari bekerja bersama ibu bapa tetapi semalam, saya merebut peluang ini. Boleh bercerita dengan mereka. Hajar pula usah dikira kegembiraannya melihat uminya pulang sebelum matahari terbenam.
Malah, semalam juga, sempat berjumpa Aton dan minum di Kluang Station...Segala-galanya boleh jika ada masa dan ruang...
Di tempat ini memang ada ketenangan, tatkala kaki melangkah masuk, terasa hati begitu tenteram. Entah kenapa? Mungkin masih baru tetapi menurut akauntan di sini, Siti Zubaidah, tempat ini menjanjikan ketenangan, sudah setahun dia di sini, bukan tiada tugas yang menanti, pasti ada tetapi hakikatnya, tekanan begitu minimum.
Harap keadaan ini berterusan...

Tuesday, January 06, 2009

Tugas Baru

Hari ini aku memulakan tugas baru di tempat baru bersempena tahun baru dan usia baru.
Pendek kata banyak yang barulah hari ini. Berdebar-debar jugalah rasa di hati, maklumlah usia dah bertambah, kerja baru mestilah mencabar. Banyak yang perlu dipelajari dan ditimba di sini...Dunia yang berbeza, bak langit dan bumi. Jika dulu di bidang kewartawanan tetapi kini pelancongan. Namun, aku yakin, bidang baru yang juga tidak kurang banyak ranjau dan cabaran ini menjadikan aku lebih teruja setiap hari. Macam budak baru belajar, budak darjah satu, tentu banyak yang ingin diketahui.
Biarpun ofis baru aku nanti di Taman Melati, hari ini aku lapor diri untuk bertugas di Wisma Irna Yakin di Danau Kota. Irna Yakin Travel and Tours akan beroperasi di Taman Melati dan ia adalah satu daripada anak syarikat Irna Yakin.
Ketika ini aku belum sibuk lagi, jika di tempat lama, masa inilah aku tengah sibuk, maklumlah sudah awal bulan. Di sini, suasananya tenang dan tidaklah terikat dengan dateline. Namun, tidak semestinya, aku hanya boleh duduk goyang kaki kerana tugas seterusnya adalah melihat ofis baru di Taman Melati yang perlu disiapkan dalam tempoh dua bulan. Aku bercadang ke sana hari ini atau pagi esok.
Sekarang ini, aku sedang menunggu Haji Roslan yang baru pulang dari Makkah untuk berbincang mengenai syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pelancongan dan menjadi ahli Matta.
Biarpun b elum sibuk dan mungkin punya banyak waktu di sini, suamiku berpesan supaya banyakkan membaca dalam bidang berkaitan.

Monday, January 05, 2009

Hari Sibuk Sedunia

Cuti panjang persekolahan sudah berakhir...Hari ini, murid dan pelajar memulakan sesi persekolahan setelah berehat panjang, sebulan setengah. Guru dan ibu bapa juga sibuk menguruskan persekolahan anak-anak. Ada sahaja yang perlu dijelaskan apabila sekolah bermula. Biarpun harga petrol sudah turun, tambang bas dan kereta sewa yang membawa anak-anak ke sekolah tetap maintain...tak ada pulak turun. Begitu juga harga barang-barang lain, termasuklah makan minum. Jika tahun lalu, duit poket anak RM2 tetapi sekarang, sudah naik RM3. Sebabnya, makanan di kantin pun mahal jugak. Takkan nak biarkan anak-anak kebuluran pulak atau puasa sepanjang tahun. Disuruh bawa bekalan, ada anak yang enggan, kononnya malu jika makan di depan kawan-kawan. Itu ego namanya. Hal ini berlaku pada anak bujang saya, sejak di sekoleh rendah lagi, dia tidak mahu bawa bekalan. Jika ditanya, kenapa tidak makan, dia kata nanti kawan-kawan nampak. Roti dua keping dibawa pulang begitu juga. Cuma air sahaja yang diminum. Disebabkan Azim tidak mahu makan bekalan yang diberi, ayahnya perlu beri wang saku. Pernah dia menahan lapar sehingga hampir pitam apabila pulang ke rumah. Hari ini, Azim yang seringkali dihantar ke sekolah oleh diriku, diambil oleh anak kenalan ibuku. Pergi balik bersama kakak itu. Lega sedikit rasanya.
Selepas menghantar Azim di guard house pada jam 6.45 pagi dan menunggunya sehingga naik kereta sewa itu, aku pun bergegas menyiapkan Hajar yang masih lagi bersedih kerana 'kehilangan' Humaira. Matanya bengkak disebabkan banyak menangis. Bangun tidur sahaja, menangis sekali lagi. Setelah dipujuk, dia bersiap untuk ke sekolah tetapi di dalam kereta, wajahnya muram terus. Tiba sahaja di sekolah, aku memimpin tangannya dan memujuknya masuk ke madrasah. Dia enggan dan air matanya mengalir. Aku panggil rakan Humaira, Farah Nabilah dan memintanya memujuk Hajar kerana Hajar menyuruh aku memanggilnya. Alhamdulillah, dia mahu mengikut Farah Nabilah masuk ke madrasah.
Selesai menguruskan anak dan bersarapan, aku pulang menguruskan kain baju pula yang tidak dicuci semalam kerana sibuk menguruskan Humaira. Setelah itu, ke bank untuk menguruskan segala hutang piutang, telefon, elektrik, loan rumah....aduh banyaknya...ada masa, aku bereskan semuanya sebelum pulang ke rumah.
Hari ini, banyak panggilan dan sms yang aku terima, sama ada daripada kawan-kawan ataupun
contact sepanjang di Jelita. Ada yang belum tahu mengenai perletakan jawatanku. Aku pun berterus terang dan berharap hubungan yang terjalin terus berkekalan...

Sunday, January 04, 2009

Apabila adik 'kehilangan' kakak

Salam buat pembaca blog ini. Maaf kerana sudah seminggu tidak berblog. Sibuk dengan detik-detik terakhir di pejabat dan menguruskan pemergian Humaira ke IQKL.
Pendaftarannya, hari ini, 4 Januari pada jam 9 pagi. 15 minit sebelum jadual pendaftaran, kami tiba di bangunan sekolah di pinggiran Taman Tun Dr Ismail. Selepas mendaftar, teruslah ke dorm yang bakal menempatkan anak keduaku itu. Wajah Humaira nampak ceria dan dia sempat berbisik kepadaku bahawa dia sukakan tempat itu. Bestnya...kata Humaira. Aku tersenyum dan turut berkongsi kegembiraan itu. Anak saudaraku, Umar Abdul Rahman juga mendaftar di sekolah yang sama. Namun, dia di tingakatan satu manakala Humaira di tingkatan dua.
Selesai sesi taklimat, kami sekeluarga makan tengah hari di Restoran Makbul Nasi Kandar. Boleh tahan, sedap-sedap juga lauk pauknya. Selesai makan, pergi semula ke IQKL, bersolat zuhur dan menunggu kenalan yang sama-sama menunaikan umrah sewaktu program Umrah Bersama Jelita, Siti Aida dan Azarin. Tidak sangka, mereka sanggup datang dari Bukit Mahkota semata-mata mahu melihat Humaira. Namun, daripada pengamatanku, memang Aida dan Azarin mengambil berat mengenai anakku ini. Sekembali dari umrah, hubungan kami terus terjalin erat, saling berkunjung dan menelefon. Kadangkala segan juga dengan mereka ini sebab terlalu murah hati terhadap anakku. Ada sahaja yang diberinya kepada Humaira. Saya yakin mereka ikhlas memberi, apatah lagi mengetahui Humaira mengikuti pengajian al-Quran.
Kira-kira satu jam Aida dan Azarin berbual-bual dan sempat meninjau persekitaran IQKL.
Selepas mereka pulang, kami sekeluarga pun terpaksa meninggalkan Humaira dan Umar kerana tempoh lawatan hampir tamat, iaitu sebelum asar.
Detik kepulangan kami sungguh memilukan. Diriku dan ibu mampu menahan kesedihan namun Hajar tidak dapat menyembunyikan kesedihannya. Dia menangis enggan pulang. Puas dipujuk, namun dia terus menangis, tanpa mengendahkan ibu bapa pelajar lain yang turut ada di sekeliling. Setelah dipujuk ayahnya dan diriku, barulah Hajar naik ke kereta. Dia nangis sehingga tertidur.
Apabila tiba di Kampung Pandan, wajahnya muram dan meminta Alya (sepupunya) mengikut kami pulang ke Pandan Utama. Kami turutkan. Dia nampak gembira sedikit. Selesai Maghrib, diturutkan lagi kemahuannya untuk makan di Pizza Hut di Tesco.
Sesudah makan, masuk pula ke kedai buku. Setelah menghantar Alya pulang, wajah Hajar kembali suram. Tiba saja di rumah, dia merengek lagi dan apabila masuk ke bilik kakaknya, sekali lagi Hajar menangis semahu hati dan menjerit mahukan kakak... Sebak dada melihatnya tetapi saya dan suami kuatkan hati untuk memujuk Hajar. Hampir satu jam mendiamkan Hajar sehingga dia tertidur pada jam 11 malam. Kasihan, bantal dan tudung biru kakak menjadi teman tidurnya. Dia menyuruh kami menelefon kakaknya dan meminta Humaira balik setiap hari. Namun, yang hanya mampu aku lakukan ialah memujuk dan menasihatkannya supaya tidak menangis dan akan bertemu kakak pada setiap hujung minggu. Tidak sangka dia begitu merindui kakaknya, biarpun hampir saban hari bergaduh dan membuli kakaknya.
Hajar nampak berani tetapi hatinya begitu rapuh dan lembut, mudah tersentuh manakala Humaira kelihatan lembut tetapi, hatinya agak keras... Dia tidak menangis tatkala kami sekeluarga meninggalkannya di IQKL..
Semoga Humaira dan Umar menjadi pelajar cemerlang di sana nanti dan dipermudahkan segala hafazan dan pengajian akademik mereka...Amin