Wednesday, August 11, 2010

Semangat Bapak

Ketika berkunjung ke Makkah pada 2005 bersama Bapak, Ibu & Azim
Kunjung ke Tanah Suci pada 2005 untuk menyambut Ramadan

Keratan akhbar Berita Harian pada 28 Julai 2010



Alhamdulillah, bertemu lagi Ramadan pada tahun ini. Bersahur, berpuasa, berbuka, berterawih dan bersedekah menjadi amalan mereka yang mahu menyemarakkan Ramadan dan merebut ganjaran daripada Maha Esa.
Ramadan kali ini mengundang kesyahduan dan kehibaan pada hati saya sekeluarga berikutan pemergian Bapak ke hadrat Ilahi pada 25 Julai 2010, kira-kira dua minggu sebelum tiba Ramadan. Semoga roh Bapak dirahmati dan ditempatkan bersama-sama orang beriman dan beramal soleh. Al Fatihah.
Kenangan manis bersamanya tetap terpahat dalam ingatan. Masih terbayang langkah kecil Bapak ke madrasah berhampiran rumah pada setiap waktu solat. Biarpun bertongkat dan terpaksa berjalan lambat dan perlahan, namun semangatnya tetap kuat untuk mengerjakan solat berjemaah.
Biar hujan lebat dan malam gelap pekat, namun, Bapak tetap mengharungi segala kepayahan untuk berjemaah di Madrasah Rahmaniah.
Biarpun demam tidak kebah dan suaranya garau akibat batuk, Bapak tetap gagah ke madrasah.
Biarpun terawih mengambil masa lebih satu jam, Bapak akan terus solat berdiri sehingga selesai 23 rakaat. Begitu kuat semangatnya.
Hatta, di Makkah sekalipun, Bapak akan terus berdiri untuk mengerjakan solat terawih sehingga Imam Abdul Rahman Sudais menghabiskan satu juzuk pada setiap malam.
Biarpun pernah dihadiahkan kerusi lipat untuk memudahkan Bapak duduk ketika bersolat terawih, Bapak enggan menggunakannya! Ketika tawaf dan saie, Bapak tidak memerlukan kerusi roda kerana mahu menggunakan kudrat sendiri untuk menyempurnakan ibadat umrah.
Hakikatnya, Bapak mempunyai semangat yang cukup kuat dan kental dalam urusan ibadatnya.
Hasratnya untuk ke Makkah pada 7 September untuk berpuasa pada hujung Ramadan, berhari raya di Tanah Suci dan seterusnya menunaikan umrah serta berpuasa Syawal tidak kesampaian. Namun, saya yakin niatnya untuk ke Baitullah dan berpuasa sunat sudahpun diterima Allah. Insya-Allah.
Saya lihat Bapak paling gembira apabila saya menyatakan cadangan menunaikan umrah pada 7 September. Terpancar keriangan pada wajahnya kerana berpeluang untuk mengerjakan puasa Syawal. Tambahan pula, pada tahun lalu, Bapak tidak berpeluang ke Tanah Suci. Kali terakhir ke sana bersama-sama keluarga adalah pada Mei 2008.
Biarpun usianya sudah mencecah 78 tahun, Bapak tidak pernah saya lihat meninggalkan puasa sunat Syawal. Pada setiap tahun, Bapak akan mula berpuasa pada 2 Syawal walaupun turut mengikut saya menziarahi ahli keluarga terdekat di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Begitu kuat semangatnya untuk tidak melengah-lengahkan puasa sunat Syawal.
Mampukah saya dan adik-adik mewarisi semangat yang dimilikinya?

11 comments:

Jamak Aton Habi Mahmood said...

Semoga roh Bapak ditempatkan di tempat org2 solleh

raihanah said...

ameen......tks

rosli said...

Salam Hjh Raihanah,

Salam Takziah dari saya sekeluarga, semoga roh arwah ditempatkan di tempat orang2 yang soleh.Harap dapat bersabar dengan dugaan ini. Amin

raihanah said...

Salam Rosli

tks atas doa dan ingatan, lebih2 lagi dalam menghadapi Ramadan dan Syawal yang akan datang..

Imran Paris said...

Suatu kehilangan yg tidak ada gantinya, suatu perjalanan hidup yg tidak akan kita semua lupakan, suatu pemergian yg meninggalkan semangat yg cukup membara buat kita semua...mampukah kita pergi dijemputNya semudah yang dikurniakan kpd arwah Bapak....aku cemburu teramat cemburu dan kini semangat membara utk terus berusaha agar dijemputNya sebegitu mudah namun indah dan cukup bermakna.

Syaliza Shapiansuri said...

Salam kak ana. takziah. tahun ni dah 3 tahun saya raya tanpa mak. nasib baik dah ada menantu dan cucu, taklah bapak saya sunyi sangat. Maka kak ana sihat lagi nampaknya, alhamdulillah...

raihanah said...

Imran...
ramai yang cemburukan semangatnya dan cara pemergiannya.semoga kita dikurniakan hati dan semnangat sekental Bapak, terutama dalam urusan ibadat. Hari ini (16 Ogos), genap tiga minggu pemergiannya..pagi ini terasa begitu hiba. Dalam perjalanan ke ofis pagi ini, hati berkata-kata, semoga Bapak damai dan gembira di 'alam' sana...insya-Allah, sampai janji, kita bertemua semula..

raihanah said...

Liza.
terima kasih...masih kak ana ingat kesedihan awak...Bagi kak ana, awak sudah lakukan yang terbaik ketika hayat arwah bonda tersayang...Doakan kesejahteraannya di sana...

titisembun said...

Salam,

Takziah dari kami sekeluarga. Semoga roh arwah ditempatkan ditempat orang yang soleh.Juga semoga di beri ketenangan dan kesabaran dengan segala dugaan yang melanda...amin!

raihanah said...

Salam titisembun

terima kasih atas ingatan dan pesanan untuk kami sekeluarga serta syukran terhadap doa untuk arwah..

LADY-NAWAL said...

salam sister...
semoga roh arwah bapak ditempatkan di kalangan org2 yg soleh disisi-Nya..

al-fatihah